Selasa, Jun 26, 2012

Kembara Amal 4X4 Kelab D'Harung - Hari Kedua

Assalamualaikum WBT,

Melepasi tol Ipoh kami bergerak menuju Chemor. Tiba di stesyen minyak Esso di Chemor kami memenuhkan untuk kami memenuhkan kembali tangki pada jam 2.35 pagi. Sangat meriah stesyen minyak ini disinari cahaya lampu tapi sayangnya kedai serbanekanya tidak dibuka.


Sebelum memulakan kembara melalui off-road, kami singgah dulu untuk 'bersarapan' seawal jam 3.15 pagi di sebuah restoran tomyam di Sg.Siput sambil melayan perlawanan antara Greece dan Germany.


Selesai 'bersarapan' kami terus memulakan perjalanan off-road kami membelah keheningan pagi menuju perkampungan orang asli Perjek dan tiba lebih kurang jam 5.15 pagi. Selesai solat subuh kami bermesyuarat untuk merangka aktiviti yang akan diatur sebelum meneruskan perjalanan.


Kemudian, Presiden D'Harung mengetuai aktiviti konvoi untuk memulakan perjalanan off-road yang dijangka  lebih mencabar. Selesai mengurangkan tekanan angin dalam tayar kami pun memulakan perjalanan untuk menuju terus ke Pos Kuala Mu. Anggaran waktu awal yang ditetapkan untuk sampai lebih kurang 4 jam. Namun keadaan jalan yang agak selesa menjadikan waktu perjalanan kami lebih cepat.


Disebabkan hujan yang tidak turun sudah agak lama, disamping pihak askar sedang menambahbaik keadaan jalan laluan yang kami jangka sukar menjadi mudah. Halangan kami hanya debu. Kami hanya mengambil masa 1 jam sahaja untuk sampai ke Pos Kuala Mu dari Perjek. Bermakna kurang 2 jam perjalanan off-road kami dari permulaan pos kawalan selepas habis jalan berturap. Untuk rekod, kebiasannya perjalanan mengambil masa 6-7 jam dan pernah mencapai 12 jam. 


Kami sampai ke tempat yang dituju jam 8.45 pagi. Tidak dijangka begini awal kami tiba dan ini memberi kami peluang untuk berehat setelah semalaman kami tidak tidur berkonvoi. Suasana persekitaran yang sangat mendamaikan tok batin menyambut kami dengan senyuman lebar. 


Setelah melepaskan lelah, kami menurunkan barang-barang yang disumbangkan oleh tuan/puan yang budiman untuk kami packing semula. Kanak-kanak orang asli turut ceria meringankan tulang membantu kami menurunkan semua barang-barang.


Habuannya, kanak-kanak ini diberi hadiah biskut wafer. Sungguh gembira mereka kerana jarang sangat mereka makan makanan ringan kerana tiada satu kedai pun yang terdapat disini. Setelah menerima habuan masing-masing, tangan ditadah dan mereka ramai membaca doa sebelum makan. 


Peserta kembara pun masing menjalankan tugas masing-masing. Sebahagiannya memasak, sebahagian melayan kanak-kanak dan mengajar mereka, sebahagian lagi pula membungkus barang-barang keperluan harian yang dibawa untuk diagihkan-agihkan kepada 113 keluarga yang terdapat di 4 buah kampung di seluruh Pos Kuala Mu. 


Selesai makan tengahhari dan solat jamak zohor dan asar kami semua turun ke sungai yang dingin bagi membersihkan badan masing-masing yang pada perkiraan saya lebih 18 jam badan masing-masing tidak disentuh air kecuali wudhuk.


Bersambung di catatan seterusnya .....




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda mungkin tidak akan disiarkan kerana blog ini telah berpindah di http://azwandengkil.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...