Assalamualaikum WBT,
Pernahkah kita terfikir setiap amalan baik yang kita lakukan adalah kerana kita dipilih oleh Allah SWT? Adakah kita merasa dengan kesihatan tubuh badan yang Allah SWT kurniakan dapat membolehkan kita dipilih oleh Allah SWT melaksanakan segala amal yang disukaiNya?
Janganlah sesekali kita berkata, sebab saya sihat maka saya dapat beribadat pada Allah. Ataupun berkata, sebab kenderaan yang saya ada dapat memudahkan saya untuk beribadat kepada Allah SWT. Ataupun apa jua sebab yang lain. Perkara tersebut sedikit pun tidak memberi kesan jika kita tidak dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakan amal-amal yang baik. Kerana untuk melaksanakan sesuatu amal yang baik pun adalah dengan izin dan hidayat dari Allah SWT. Kita sebagai manusia langsung tiada daya dan upaya walaupun untuk menggerakkan kelopak mata jika Allah tak izin.
Berapa ramai manusia yang mempunyai kesihatan yang lebih baik dari kita hari ini tetapi tidak dipilih oleh Allah SWT untuk membuat amal kebaikan. Dan berapa ramai manusia yang mempunyai kenderaan yang lebih hebat dari kita tetapi tidak dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakan seluruh perintahNya.
Sebab itu saya mengatakan semua ini pilihan Allah SWT. Untuk ucap satu Subhanallah pun adalah pilihan Allah SWT. Jika Allah tak pilih kita, bukan saja zikir, untuk melaksanakan amalan fardhu pun kita takkan terdaya. Jadi, perlulah kita menjadikan diri kita sentiasa dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakan setiap amal kebaikan. Contohnya solat. Solat yang terbaik adalah diawal waktu dengan cara berjemaah. Hari ini kita kena istighfar kerana gagal untuk solat diawal waktu dan tidak berjemaah. Kerana apa? Bukan kerana kerja kita. Tetapi kerana kita tidak dipilih oleh Allah SWT. Apabila tidak dipilih maka, ada sahaja halangannya.
Bagi mereka yang dipilih oleh Allah SWT, walaupun dibebani dengan urusan dunia yang banyak, tidaklah sedikitpun menjadi halangan. Malah, Allah SWT melorong dan memudahkan dirinya untuk berada tepat pada waktunya didalam saf solat berjemaah. Sahabat r.hum terlalu faham akan perkara ini akan menzahirkan kesedihan mereka dengan berkabung apabila hanya tertinggal takbiratul u'la (takbir bersama imam dalam solat berjemaah).
Jadi, untuk memudahkan kita sentiasa dipilih oleh Allah SWT, lakukanlah perkara yang menjadi kesukaan Allah SWT iaitu memperbanyakkan amalan2 sunat. Mencintai dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW akan lebih mendekatkan kita dengan Allah SWT. Apabila kita sentiasa dekat dengan Allah SWT, tidak mustahil kitalah orang yang sentiasa dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakan setiap perintahNya mengikut cara yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Dan seperkara yang penting juga, adalah kita sentiasa memohon doa kepada Allah SWT semoga kita jadi manusia yang terpilih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen anda mungkin tidak akan disiarkan kerana blog ini telah berpindah di http://azwandengkil.com