Jumaat, April 22, 2011

Kepentingan Memuliakan Alim Ulama (2)

Assalamualaikum WBT,

Perkara kedua
Kita juga harus memahami bahawa ulama haq dan ulama yang baik juga adalah manusia biasa. Maksum hanyalah sifat khusus kepada para Nabi a.s. Oleh itu segala kesilapan, kecuian dan kekurangan mereka adalah tanggungjawab mereka sendiri. Urusan mereka terserah kepada Allah SWT samaada dihukum atau diampuni.

Namun demikian, besar harapan kita agar Allah SWT akan mengampuni kesalahan mereka kerana seorang tuan yang pemurah biasanya akan menutup keaiban dan memaafkan hambanya yang sanggup meninggalkan urusan peribadi semata-mata kerana sibuk dengan kerja tuannya tidak berhenti-henti. Sedangkan, Allah SWT adalah Maha Pemurah dan tiada sesiapa pun dapat menyamaiNya. Sekiranya Allah SWT menghukum mereka kerana keadilanNya maka itu adalah urusanNya sendiri. Sekiranya dengan sebab kekurangan dan kelemahan alim ulama, orang ramai diapi-apikan supaya menaruh perasaan sangka buruk, membenci dan mengasingkan diri daripada mereka ini maka ini akan merosakkan agama dan orang yang mengapi-apikan itu akan ditimpa bala yang besar.

Rasulullah SAW bersabda "Antara perkara yang merupakan penghormatan kepada Allah SWT ialah memuliakan seorang Islam yang tua, memuliakan seseorang penjaga Al-Quran (para Hafiz) yang tidak melampaui dan tidak juga mengurangkan hak Al-Quran serta memuliakan seorang pemerintah yang adil" Hadis riwayat Abu Daud.

Dalam hadis yang lain Baginda SAW bersabda "Bukanlah daripada kalangan umatku orang yang tidak menghormati orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak memuliakan ulama" Hadis riwayat Ahmad dan Hakim.

Dalam satu hadis lagi Nabi SAW bersabda "Hanya orang munafik sahaja yang memandang rendah terhadap tiga golongan ini, seorang Islam yang tua, seorang alim dan seorang pemerintah yang adil" Hadis riwayat Tabrani.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum,
    Sekarang ni,alim ulamak inilah yang difitnah macam-macam, si penipu dan pembohong pula disangjung puja dan jadi pemimpin. Apalah nak jadi....

    BalasPadam

Komen anda mungkin tidak akan disiarkan kerana blog ini telah berpindah di http://azwandengkil.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...