Rabu, September 10, 2008

Larangan Bersetubuh Pada Siang Ramadhan

Hadis Rasulullah s.a.w. daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud: Telah mengadu seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata: “Aku telah memusnahkan diriku wahai Rasulullah, baginda bertanya: Apa yang menyebabkan kamu musnah? Lelaki itu menjawab: “Aku telah melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadan”. Baginda bertanya kepada lelaki itu : “ Adakah engkau memiliki hamba untuk dibebaskan? Lelaki itu menjawab: Tiada wahai Rasulullah. Baginda bertanya lagi adakah kamu mampu berpuasa selama dua bulan berturut-turut? Lelaki itu menjawab tidak mampu wahai Rasulullah. Kemudian baginda bertanya lagi, adakah kamu memiliki makanan yang cukup untuk diberi makan kepada 10 orang? Masih lagi dia menjawab tidak mampu. Kemudian Nabi s.a.w. duduk. Dalam pada itu Nabi s.a.w. telah diberikan satu karung yang berisi tamar. Baginda meminta dia menyedekahkan tamar tersebut sebagai kaffarah terhadap perbuatannya itu. Lantaran lelaki itu menjawab kepada Rasulullah dengan berkata: Adakah perlu saya berikan tamar ini kepada orang yang lebih fakir daripada kami, kerana tiada rumah yang lebih berhajat kepada tamar ini melainkan rumah kami (lelaki itu menggambarkan kemiskinan keluarganya ), pergilah kamu dengan bekalan ini dan berilah ahli keluarga kamu makan daripadanya. (riwayat al-Bukhari: 2600 dan Muslim: 1111) .

Hadis di atas menjelaskan perihal kaffarah, sekali gus menjelaskan pensyariatan kaffarah serta perkara yang membatalkan puasa dan menuntut kaffarah.

Persoalannya, adakah kaffarah di wajibkan bagi orang yang membuka puasanya dengan makan kemudian bersetubuh. Pertamanya setiap orang yang beriman yang dituntut ke atasnya berpuasa jika berbuka di siang hari, sepakat ulama wajib keatasnya mengqada.

Ada pun sekiranya dia berbuka puasa dengan tujuan mengadakan hubungan kelamin, ulama memberi dua pandangan yang tersohor seperti berikut:

Pertama : wajib ke atasnya kaffarah. Pendapat ini merupakan pandangan ulama dari mazhab Malik, Ahmad dan Abu Hanifah. Hujah mereka puasa adalah amalan yang difardukan ke atas setiap mukallaf yang cukup syarat-syaratnya.

Menahan nafsu

Puasa itu sendiri bermaksud menahan diri daripada makan dan minum. Maksudnya adalah haram ke atasnya makan minum tanpa sebarang keuzuran.

Sekiranya dia makan mahu membatalkan puasa dia berkewajipan memelihara perkara-perkara yang ditegah melakukannya di siang Ramadan.

Justeru itu, perbuatannya membatalkan puasa sudah menjadi suatu perbuatan yang berdosa malah ditambah dengan suatu yang ditegah melakukannya di siang Ramadan.

Jadi dua kesalahan, kesalahan pertama kerana membatalkan puasa dengan makan wajib diganti dengan hari yang lain. Kesalahan kedua ialah melakukan persetubuhan di siang hari di bulan Ramadan.

Kumpulan ulama ini juga berpendapat sekiranya tidak dikenakan kaffarah bersetubuh di siang hari, bulan Ramadan akan dilihat suatu yang biasa.

Kaffarah dielakkan dengan memakan terlebih dahulu. Ini merupakan satu helah dalam memandang ringan terhadap amalan yang menjadi rukun dalam Islam.


Kedua : Tidak wajib kaffarah, ini menurut mazhab as-Syafie. Hujah bagi mazhab as-Syafie ialah puasa itu terbatal dengan makan. Maka keadaan orang yang telah batal puasanya adalah seperti orang yang tidak berpuasa, dan tidak terikat dengan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Orang yang melakukan persetubuhan di siang hari bulan Ramadan didahului dengan membatalkan dengan memakan, maka tidak wajib ke atasnya kaffarah.

Namun demikian setiap kita maklum bahawa bulan Ramadan bukan sahaja menuntut kita menahan diri daripada makan dan minum tetapi melatih kita menahan nafsu. Justeru kita dituntut memelihara kemuliannya. Allah s.w.t. menghalalkan dan mengharuskan suami mendatangi isterinya di malam-malam Ramadan.

Ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t:
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), Iaitu waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertakwa. (al-Baqarah: 187).

Bulan ini adalah bulan didik nafsu dan menundukkannya pada perkara-perkara yang perlu ditahan. Jika helah dicari untuk memuaskan nafsu dengan mengorbankan didikan rabbani, sebenarnya kita kalah dan tersungkur dengan kehendak nafsu dan terkuburlah kehendak tuhan.

Sebab itulah Allah menjanjikan pahala puasa dibayar oleh-Nya, kerana orang yang berpuasa itu meninggalkan makannya, minumnya dan syahwatnya kerana Allah s.w.t.

Semuanya itu ditinggalkan kerana Allah? Takkanlah satu permintaan dan harapan itu dihampakan di bulan al-Mubarak ini?

Ikut nafsu tanpa dikawal kita akan kecundang, ikut bicara hati nurani yang beriman pasti bertemu cinta maha pencipta.


Terdahulu, saya ada membaca kiriman dari seorang sahabat di SIM tentang ancaman bagi orang yang meninggalkan puasa secara sengaja. Bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa uzur syar’i adalah wajib ke atasnya mengqada puasa yang ditinggalkan itu dan dikira sebagai menderhaka kepada Allah Subhanahu Wataala kerana meninggalkannya dan pemerintah berhak menghukum (ta’zir) ke atas mereka. Perbuatan meninggalkan puasa Ramadan itu sangat merugikan dirinya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

"Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada bulan Ramadan dengan tiada keuzuran dan tidak sakit, dia tidak akan dapat menggantikannya dengan puasa sepanjang tahun.’’ (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi.. kawallah nafsu dengan sebaik mungkin kerana kegagalan untuk kita mengawal nafsu akan menyebabkan diri kita dikawal oleh nafsu. Wallahhua'lam....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda mungkin tidak akan disiarkan kerana blog ini telah berpindah di http://azwandengkil.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...