Rabu, Jun 27, 2012

Kembara Amal 4X4 Kelab D'Harung - Hari Ketiga


Assalamualaikum WBT,

Masuk hari ketiga kembara kami. Setelah selesai solat subuh berjemaah, ada yang mengambil kesempatan untuk tidur semula sementara menunggu sarapan disiapkan. Setelah selesai membersihkan diri masing-masing dengan kedinginan yang mencengkam, kami bersarapan dan terus berkemas-kemas untuk pulang.


Selesai berkemas-kemas satu sessi penyerahan alat-alat bantuan mengajar dan belajar berlangsung di dewan Kg.Bersah. 2 orang tenaga pengajar hadir dan mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan yang diberikan.


Dan Kg.Bersah merupakan kampung yang ke-4 untuk penyerahan sumbangan barangan keperluan. Seramai 27 buah keluarga menerima sumbangan dan selebihnya kami serahkan pada Tok Batin Kg.Bersah Pak Adu yang telah melayan kami dengan sangat baik.


Sebelum bertolak pulang dari Pos Kuala Mu kami bergambar kenangan beramai-ramai. Ternyata kehadiran kami sangat dialu-alukan oleh mereka walaupun ada lagi segelintir masyarakat orang asli disini tidak mahu menerima tetamu dari luar.


Dalam perjalanan pulang kami melalui kembali kampung tempat kami berhenti untuk solat subuh semalam, ada Bangla jual aiskrim disitu. Mengambil keputusan untuk berhenti kerana melihat ada kanak-kanak orang asli berdekatan dan membelanja mereka makan aiskrim yang mana kami pun ingin sama.


Kami juga sempat singgah disebuah anak sungai yang mengeluarkan air panas yang belum lagi diteroka oleh masyarakat luar.


Sampai di Ipoh kami singgah di Restoran Mee Rebus Ramli mengisi perut sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Dengkil dan kami tiba di Masjid As-Shariff tempat kami dilepaskan tepat pada waktu maghrib. Begitulah Kembara Amal kami sepanjang 3 hari. Kami sangat berpuashati kerana dapat menyampaikan bantuan yang kami terima dari tuan/puan penyumbang yang budiman. Seluruh masyarakat orang asli di Pos Kuala Mu, Sg.Siput, Perak, menyampaikan salam dan berterima kasih kepada tuan/puan semua. InsyaAllah pada kembara akan datang akan kami war-warkan lagi untuk memberi peluang kepada tuan/puan yang terlepas peluang menghulurkan sumbangan untuk memberi sumbangan semua.

Terima kasih daun keladi, 
Lain kali boleh menyumbang lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda mungkin tidak akan disiarkan kerana blog ini telah berpindah di http://azwandengkil.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...