Selasa, Mei 01, 2012

Politik terkini dalam negara

Assalamualaikum WBT,

Saya bukanlah penggemar utk menulis tentang politik. Kerana apabila saya menulis tentang politik ianya akan menjadi bahan perbahasan yang tiada berkesudahan. Akhirnya perbahasan tersebut diakhiri dengan kata-kata penuh emosi dan terbitlah permusuhan antara dua saudara.

Disini, saya tidak mewakili mana-mana pihak mahupun parti walaupun ramai yang mengetahui saya disebelah mana. Melalui kacamata saya, saya ingin menerangkan keadaan terkini politik di Malaysia yang sangat membimbangkan. Antara faktor yang membuat saya menyebut ianya membimbangkan adalah kerana politik Malaysia kini dihujani dengan serangan-serangan berbentuk peribadi ke atas individu yang bergelar pemimpin. Politik yang sihat bagi saya adalah politik yang menunjukkan satu jalan penyelesaian ke atas permasalahan yang timbul. Bukan menuding jari menunjukkan siapa yang melakukan kesalahan dan kemudian tidak berusaha untuk memperbaikinya.

Akhirnya apabila serangan berbentuk peribadi ini terlalu kerap dimainkan, maka jadilah suasana politik itu tidak sihat dan timbul rasa benci antara satu sama lain. Suasana politik yang sihat adalah berbahas bagaimana untuk mencari penyelesaian ke atas sesuatu masalah sebagai contoh masalah pinjaman PTPTN yang banyak tertunggak dan tidak dapat dijelaskan oleh ramai peminjamnya. Kenapa keadaan ini berlaku. Adalah tidak wajar sebagai peminjam mencari jalan untuk tidak melunaskan pinjamannya. Jalan yang terbaik adalah duduk berbincang bagaimana cara untuk menyelesaikan pinjaman tersebut. Mungkin boleh diwujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang dapat diisi oleh peminjam PTPTN dan seterusnya skim potongan gaji terus melalui majikan bagi memudahkan pembayaran.

Namun demikian, bagaimana mungkin untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak jika pelabur-pelabur asing tidak berminat untuk melabur dinegara kita hasil landskap politik yang tidak sihat. Suasana demontrasi yang selalu menghiasi negara kita menjadikan pelabur-pelabur asing takut untuk melabur di Malaysia dan menyebabkan kita juga yang rugi. Benar, sebagai rakyat Malaysia kita mempunyai hak untuk bersuara, namun terlalu banyak medium bagi kita menyampaikan suara kita. Melalui demonstrasi jalanan, ianya mengundang rasa takut kepada rakyat asing untuk masuk ke negara kita kerana mereka beranggapan negara kita sedang bergolak akibat perubatan kuasa politik.

Lihat apa yang terjadi dinegara-negara bergolak akibat perebutan kuasa politik seperti di Somalia. Yang menjadi mangsa adalah rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan. Mahukah kita melihat keadaan ini berlaku kepada kita? Perjuangan memerdekakan negara dan menjadikan Malaysia itu aman dari sebarang kacau bilau adalah satu usaha yang perlu kita sanjung dan jangan dimusnahkannya.

Sebuah rumah yang ada 2 orang sedang bergaduh didalamnya memerlukan kita masuk ke dalam rumah tersebut bagi membantu untuk menyelesaikan pergaduhan tersebut. Terjerit-jerit dari luar rumah tidak mendatangkan apa-apa kesan malah akhirnya akan menyebabkan pergaduhan yang berlaku menjadi lebih teruk dan mungkin ada yang akan terbunuh.

Perjalanan politik harus diperbetulkan semula. Hentikan segera perbuatan menuding jari mencari kesilapan pihak yang lain dan segera memperbaiki kelemahan yang timbul dari mereka. Jika ini berlaku, rakyat juga yang akan mendapat manfaatnya. Suasana politik yang sihat dalam sesebuah negara ialah apabila 2 perbezaan pendapat dapat diselesaikan dengan cara yang harmoni. Inilah keadaan yang akan menjadikan negara tenang dan pergolakan politik tidak berlaku. Hentikan permainan politik yang tidak sihat dan jangan diseret rakyat untuk turut serta dalam permainan politik yang tidak sihat itu. Politik yang sihat akan menstabilkan negara dan menjadikan keadaan negara sentiasa aman dan bebas dari kacau bilau.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

1 ulasan:

Komen anda mungkin tidak akan disiarkan kerana blog ini telah berpindah di http://azwandengkil.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...