Isnin, Mac 19, 2012

Hukum menikahi wanita yang hamil anak tidak sah taraf.

Gambar hiasan

Assalamualaikum WBT,


Haram dan berdosa besar bagi lelaki yang mengetahui seorang wanita mengandungkan anak luar nikah jikalau menikahi wanita hamil itu. Pernikahan cuma boleh dilangsungkan selepas wanita terbabit melahirkan anak, malah anak yang lahir tidak boleh dibin atau dibintikan lelaki yang menjadi pak sanggup kerana zuriat berkenaan bukan daripada benihnya.

Dalam Islam, anak yang lahir perlu dibinkan wanita itu sendiri manakala dalam hukum lebih longgar, ia dibolehkan berbin atau binti Abdullah (hamba Allah). D
alam budaya masyarakat Malaysia, jika seorang wanita hamil anak luar nikah, dia dan teman lelaki yang membuntingkannya dinasihatkan lekas kahwin bagi menutup aib serta menjaga maruah keluarga. (Ini pendapat yang dilontarkan oleh Ustaz Zahazan).


Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, penulis al-Fiqh al-Islami, hukum tidak sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil hasil hubungan luar nikah atau diistilahkan sebagai 'zina' dalam bidang fikah adalah fatwa mazhab Maliki.
Namun tidak disyaratkan anak yang dilahirkan oleh wanita itu mesti berusia 40 hari atau lebih untuk melaksanakan akad nikah kemudiannya.

Mazhab ini mensyaratkan lelaki yang ingin bernikah dengan mana-mana wanita yang terlibat dengan zina perlulah memastikan rahimnya suci terlebih dahulu. Caranya, dengan menunggu sehingga tempoh tiga kali datang bulan (haid) atau berlalunya tempoh tiga bulan dari saat terakhir dia melakukan zina (al-istibra').

Jumhur ulama bersepakat mewajibkan istibra' demi menjaga kesucian susur galur keturunan kerana ia akan melibatkan status anak sah taraf atau tidak untuk dibinkan kepada suami yang dikahwini setelah zina berlaku, kemudian masalah wali kahwin bagi anak perempuan dan masalah pewarisan harta dari segi hukum-hakam Islam.

Jika syarat ini diabaikan, dan akad nikah diteruskan, maka akadnya dihukumkan fasid atau rosak yakni tidak sah di mana perpisahan dihukumkan wajib bagi pasangan tersebut; sama ada zahir pada wanita itu tanda-tanda hamil atau tidak.

Jika wanita itu didapati mengandung hasil hubungan zina, maka istibra'nya ialah kelahiran anak itu. Tidak sah akad nikah sebelum wanita itu bersalin berdasarkan hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya). (riwayat Abu Daud dan juga oleh al-Tirmizi yang menghukumkannya berdarjat hasan dengan lafaz 'anak orang lain').

Termasuk satu lagi hadis sahih dari al-Hakim mengenai wanita-wanita tawanan perang Awtas susulan daripada peperangan Hunain yang dibahagi-bahagikan kepada para pejuang yang bermaksud: "Tidak disetubuhi seorang wanita hamil itu sehingga bersalin".

Syarat ini juga digunapakai dalam mazhab Hanbali
 terutamanya bagi lelaki yang telah mengetahui status wanita itu berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: "Janganlah sekali-kali seorang lelaki menyetubuhi seorang wanita yang hamil bukan dari benihnya".

Syarat tambahan mazhab ini ialah hendaklah wanita itu bertaubat nasuha terhadap dosa besar yang telah dilakukannya itu bagi mengeluarkannya daripada hukum asal al-Quran ke atas penzina: Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina pula tidak boleh berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman. (al-Nur: 3)

Lebih-lebih lagi jika mereka tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina seperti yang diisyaratkan di akhir ayat tersebut.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Seseorang yang benar-benar bertaubat daripada dosanya (taubat nasuha) adalah umpama seorang yang suci daripada segala dosa".

Kemudian baginda membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 222: Sesungguhnya Allah Maha Menyintai orang-orang yang suka bertaubat dan sentiasa menjaga kesucian.

Sementara mazhab Hanafi menghukumkan sah akad nikah seseorang lelaki yang mengahwini seorang wanita yang berzina dengan seorang lelaki lain jika dapat dipastikan wanita itu tidak hamil.

Jika wanita itu hamil juga diharuskan menikahinya dengan syarat tidak boleh menyetubuhi wanita itu sehingga dia bersalin berdasarkan ayat 23-24 dari surah al-Nisaa' yang tidak menyenaraikannya sebagai wanita yang haram dinikahi:

Telah diharamkan kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu kamu, anak-anak saudara perempuan daripada adik-beradik lelaki dan perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu dan adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu isteri-isteri kamu, anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri kamu yang telah kamu nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu menceraikan mereka sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin dengan anaknya). Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik sekaligus sebagai isteri-isteri kamu, kecuali yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang masih berstatus isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Hukumnya haram ini) adalah suatu ketetapan dari Allah (yang diwajibkan) ke atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan lain selain daripada yang disebut (di atas), untuk kamu mencari (wanitai) dan memperisterikannya dengan harta kamu dengan menikahinya secara yang sah, bukan secara berzina… (an-Nisaa': 23 dan 24).

Pendapat ini dikuatkan dengan hadis riwayat al-Bukhari berkenaan perlakuan zina wanita yang telah berkahwin: Anak yang dilahirkan itu bagi empunya kamar tidur (iaitu hak suami yang sah), dan batu bagi penzina (rejam). Ia menggambarkan bahawa air mani penzina tidak mengharamkan hubungan perkahwinan yang sah.

Mazhab ini bersependapat dengan mazhab Hanbali dan Maliki yang mengharamkan persetubuhan kepada lelaki yang mengahwini wanita yang mengandung bukan dari benihnya. Sehingga wanita itu bersalin berdalilkan hadis yang sama: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya)". (riwayat Abu Daud).

Mazhab Syafie pula mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita yang menjadi pasangan zinanya berdasarkan ayat 3, Surah al-Nur.

Perbuatan haram mereka berzina tidak mengharamkan mereka untuk melakukan pernikahan yang sah di mana hukumnya halal. Fatwa ini disepakati oleh jumhur ulama.

Nasab bayi

Menurut fatwa jumhur, jika wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan berkahwin, maka anak itu dinasabkan kepada suaminya yang sah.

Jika kurang dari tempoh itu, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali dia berkeras mengaku bahawa bayi itu anaknya atau tidak ada bukti jelas ia adalah hasil daripada hubungan zina terutamanya dalam menjaga maruah seorang Muslim.

Tempoh minimum enam bulan ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi di mana pada masa pemerintahan Saidina Umar, terdapat seorang wanita yang melahirkan anak setelah enam bulan mengandung.

Dia telah dibawa menghadap Saidina Umar untuk dihakimi iaitu diputuskan menjalani hukum rejam. Kes tersebut sampai ke pengetahuan Saidina Ali lalu beliau berkata: Wanita itu tidak sepatutnya direjam.

Kata-kata beliau akhirnya diketahui oleh Saidina Umar, lalu beliau terus menghantar utusan bertanyakan Saidina Ali tentang hal itu.

Saidina Ali terus membacakan ayat 233 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka sehingga genap tempoh dua tahun bagi mereka yang ingin menyempurnakan proses penyusuan…. Kemudian beliau membaca ayat 15 dari surah al-Ahqaf yang bermaksud: Dan tempoh mengandungnya sehingga selesai proses penyusuannya mengambil masa selama 30 bulan….

Perbezaan kedua-dua tempoh di dalam dua ayat al-Quran tadi ialah 6 bulan (30 bulan - 24 bulan bersamaan dengan 6 bulan).

Jadi, kelahiran itu tidak boleh dianggap anak zina, oleh yang demikian, mereka telah membatalkan hukuman rejam ke atas wanita tersebut.

Hanya status undang-undang anak tak sah taraf sahaja tidak boleh berbinkan suami kepada wanita yang mengandung luar nikah dan seterusnya tidak boleh berwalikannya.

Menurut fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 pada 10 Jun 2003 penjelasan istilah Anak Tidak Sah Taraf adalah seperti berikut:

*Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;

*Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah (sehingga dia bersalin) dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah; dan

*Anak yang dilahirkan dalam tempoh lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak seperti proses li'an. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen anda mungkin tidak akan disiarkan kerana blog ini telah berpindah di http://azwandengkil.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...